Monday, November 18, 2013

Apa itu Batu Karang ?

Batu karang dikenali dalam istilah perubatan sebagai kalkulus dan penyakitnya disebut nefrolitiasis.
Batu karang terbentuk daripada pemendapan jasad-jasad hablur garam kalsium, asid urik dan beberapa zat lain. Bentuk dan saiznya berbeza; ada yang serupa bujur telur ayam, lonjong, tajam, halus atau berbutir-butir.
Ia biasanya didapati berlaku di pundi hempedu, pundi kencing, saluran kencing, buah pinggang (ginjal) dan perut.
Saiz batu karang ini ada yang halus seperti pasir dan boleh jadi sebesar bola golf. Kebanyakkan batu tumbuh membesar dalam ginjal, kemudian bergerak ke bawah ke dalam saluran kencing di mana ianya menjadi bertambah besar. Kesulitan akan timbul apabila batu-batu menjadi terlalu besar yang mengakibatkan ganguan kepada perjalanan aliran air kencing. Ini boleh membawa kepada penyakit di mana kuman-kuman akan merebak. Gangguan dan/ atau perebakan kuman itu akan mengakibatkan kerosakan ginjal, jika tidak dirawat dengan segera.
Penyumbang atau kerosakan yang disebabkan wujudnya batu karang ini boleh menimbulkan rasa yang amat sakit di kawasan pinggang atau kawasan organ seks.
Rasa sakit ini disebut kolik renal (renal colic). Batu karang yang pecah juga boleh menjadi punca berlakunya pengumpulan bakteria.
4 Jenis Batu Karang
Ia ditentukan oleh bahan atau puncanya iaitu:
# Batu kalsium — Jenis paling lazim. Batu kalsium biasanya membabitkan 2 bahan, iaitu kalsium dan oksalat.
# Batu struvite — Berlaku lebih kerap pada wanita berbanding lelaki. Ia biasanya disebabkan jangkitan salur kencing kronik oleh bakteria yang menghasilkan enzim tertentu. Enzim ini meningkatkan kandungan ammonia dalam air kencing sehingga membentuk kristal struvite.
# Batu asid urik — Batu ini terbentuk daripada asid urik, iaitu hasil sampingan daripada metabolisma protein.
# Batu sistein — Pembentukan batu karang jenis ini jarang berlaku. Ia biasanya berlaku di kalangan individu yang ada masalah genetik yang menyebabkan buah pinggang menghasilkan berlebihan asid amino tertentu.
Punca kepada terjadinya Batu karang
Walaupun zaman berubah, tetapi ada nasihat orang-orang tua yang masih berguna. Antaranya ialah jangan suka menahan kencing kerana ia boleh menyebabkan batu karang. Walaupun tiada bukti saintifik yang boleh menyokongnya, ia tidak boleh dipandang ringan kerana nasihat ini banyak manfaatnya.
Secara logiknya, apabila seseorang cuba menahan kencing, dia akan kurang minum air. Jika kurang minum, air kencing menjadi pekat dan mengandungi banyak bahan yang boleh membentuk batu karang. Masalah ini lebih ketara bagi penduduk negara yang panas seperti Malaysia, bekerja dalam persekitaran panas atau bersenam keterlaluan dan kurang minum menggantikan semula air yang hilang.

Apa dia Batu karang dalam Ginjal (Buah pinggang) ?
PENYAKIT batu karang dalam buah pinggang bukan penyakit baru tetapi juga dihadapi oleh orang tua-tua kita dan mereka telah menemukan banyak kaedah dan rawatan untuk penyakit ini. Batu yang terdapat dalam ginjal terjadi dari tumbuhan kristal halus dari beberapa jenis kimia. Kimia yang paling lumrah adalah kalsium oxalat, kalsium pospat dan yang kurang dikenali ialah asid uric, cystine dan magnesiam pospat ammonia.

Adakah batu dalam ginjal penyakit biasa ?
Kejadian batu dalam ginjal ini adalah masalah biasa dalam saluran kencing. Adalah dianggarkan bahawa satu hingga lima peratus dari jumlah penduduk akan mengalami kejadian batu dalam ginjal ini pada sesuatu ketika dalam hidupnya. Sesetengah orang mengalami kejadian batu karang hanya sekali, kemudian pulih dan tidak berulang lagi. Dalam kebanyakkan kes batu dalam ginjal adalah penyakit berpanjangan seumur hidup. Biasanya orang lelaki pertengahan umur lebih ramai yang mengidap penyakit ini dari kaum wanita. Ada diantara penyakit batu karang ini disebabkan oleh zuriat keturunan. Jika terdapat sejarah kejadian penyakit ini di kalangan anda, mintalah nasihat daripada doktor anda.

Apakah tanda-tandanya ?
Batu dalam ginjal jarang-jarang menimbulkan masalah ketika ianya mula terjadi. Tetapi apabila batu-batu itu beralih atau bergerak di dalam ginjal atau di dalam saluran kencing, kesakitan yang amat sangat akan dirasai dan pendarahan biasanya berlaku sehinggalah sesudah batu itu keluar. Dalam sesetengah kes, batu itu tersekat menyebabkan kesakitan dan membahayakan apabila kuman itu merebak. Bila ini berlaku, tanda-tanda seperti berikut akan dirasai iaitu :
- pedih ketika buang air kecil
- tekak terasa loya
- air kencing berbau busuk
Batu karang hempedu
Adalah jenis Batu karang yang terdapat di pundi hempedu, duktus sistik dan duktus hempedu. Keadaan ini juga disebut kolelitiasis. Ia lebih sering berlaku pada wanita yang pertengahan atau lanjut usia dan yang guna pil perancang keluarga. Kolesterol, pigmen (bilirubin digluoronida), atau gabungan pigmen, protein dan garam galian (misalnya kalsium) yang terdapat dalam cecair hempedu membentuk hablur dan seterusnya mengeras menjadi batu karang yang mempunyai saiz berbeza-beza.

Gejala-gejala bagi kolesistitis akut ialah :
- rasa lemah badan
- hilang selera makan
- demam dan rasa sakit sebelah kanan badan sekitar bawah tulang rusuk akhir menjalar ke bahu kanan.
- Rasa sakit juga terasa di hempedu apabila menarik nafas. Penyumbatan di duktus hempedu sesama pula menimbulkan jaundis, kolik biliari dan kolangitis.

Penyakit batu karang lebih cenderung berlaku pada mereka yang :
- sudah lanjut usia
- penghidap gout
- mereka yang alami jangkitan bakteria di saluran kencing
- mereka yang menghidap penyakit metabolik (penyakit yang disebabkan oleh ketiadaan atau kekurangan enzim tertentu yang diperlukan untuk metabolisme asid amino, karbohidrat dan lain-lain).

Cara atasi penyakit batu karang
Bagi individu yang mengalami masalah batu karang, panduan di bawah mungkin dapat membantu meningkatkan kesihatan:
·  Minum banyak air masak untuk membersihkan air kencing.
·  Elakkan minuman manis, terutama minuman karbonat.
·  Kekurangan vitamin B6 dan potassium menyebabkan pembentukan batu karang. Makanan seperti barli, kentang, keledek, berasaskan tepung gandum, bunga kubis dan pisang mengatasi masalah kekurangan ini.
·  Elakkan makanan kaya asid oksalik seperti tomato, bayam, lobak merah, daging, strawberi, koko, coklat dan teh.
·  Kurangkan pengambilan garam dan gula, termasuk ikan masin, jeruk dan coklat.
·  Banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan kaya serat.
·  Kurangkan sumber protein haiwan, sebaliknya gantikan dengan protein tumbuh-tumbuhan.
·  Kurangkan minum kopi, teh dan alkohol.

Sumber: wannuraterapi.wordpress.com

No comments :

Post a Comment