TIDUR yang lena dan nyenyak pada sebelah malam dapat membantu memperbaharu proses fizikal dan mental, tetapi banyak antara kita yang mengalami masalah tidur. Kebanyakannya memikirkan bahawa kurang tidur merupakan masalah besar. Sebaliknya mereka tidak pernah memikirkan akibat sekiranya tidur berlebihan.
Narkolepsi merupakan masalah neurologi yang menyebabkan tidur berlebihan. Penyakit tersebut mempengaruhi bahagian otak yang mengawal dan mengatur tidur. Penderita narkolepsi gagal untuk mengidentifikasikan dan membezakan waktu tidur dengan waktu untuk tetap terjaga. Penderita dapat tertidur di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Tempoh tidur normal bagi mereka yang sihat selama lima hingga lapan jam bergantung pada usia.
Narkolepsi merupakan masalah mengantuk yang dihadapi seseorang akibat kerosakan saraf di otaknya yang disebabkan oleh kekurangan protein hipoketin. Setiap organ kita memberikan kesan terhadap sesuatu masalah tidur. Dengan menghayati setiap masalah terhadap fenomena tidur, kita boleh mengenal pasti sebarang masalah pada sesuatu organ.
Secara umumnya, bahagian otak yang mengawal tidur ialah hipotalamus. Setiap kali tidur, neuron di otak disusun semula. Dalam keadaan tubuh sedang menyeimbangkan kelemahan pada sesuatu organ, maka penyusunan tersebut memaparkan visual dan boleh dengar mengenai pengalaman yang telah dilalui sepanjang proses penyusunan neuron. Ketika itu, muncullah mimpi dan sesuatu fenomena ketika tidur.
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.
No comments :
Post a Comment